Mezain dan Lagu

Lagu itu menceritakan kehidupan dan juga luahan dari perasaan hati



Salam takziah buat keluarga Allahyarham Samad Lefthanded.
Bekas gitaris kumpulan Lefthanded, Abdul Samad Mian 45 atau lebih dikenali sebagai Samad meninggal dunia kira-kira jam 12:45 tengah hari semalam. Difahamkan Allahyarham terjatuh di pejabat abangnya dan selepas itu beliau dikejarkan ke Hospital Ampang.
Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Ampang selepas terjatuh di pejabat abangnya, di Taman Cahaya, Ampang ketika sedang berbual-bual dengan salah seorang pekerja di situ. Bagaimanapun ketika tiba di hospital berkenaan, pihak hospital mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norliza Suhairi, 41 dan empat orang anak yang berusia antara 18 dan enam tahun dan balunya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenai kematian suaminya kerana masih berada dalam keadaan terkejut. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang, Selangor patang ini.
Allahyarham bersama kumpulan legenda rock Lefthanded terkenal sejak awal penubuhannya pada tahun 1985 lagi. Samad pernah menghasilkan album solonya berjudul Kenangan Bersamamu pada tahun 1994. Sejak tidak aktif bermain muzik bersama Lefthanded, Samad lebih banyak menumpukan masanya sebagai pemuzik undangan selain menjalankan perniagaannya sendiri. Pada masa yang sama, anak kelahiran Johor Bahru ini juga mengisi kerjayanya sebagai pensyarah sambilan dalam bidang petikan gitar moden di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak empat tahun lalu.
Gitaris lagenda yang mula bersama Lefthanded sejak tahun 1985 dan mempunyai kemahiran bermain gitar selama 25 tahun itu, menitipkan album petikan gitarnya yang terakhir itu bagi membantu para peminat yang ingin mempertingkatkan lagi kemahiran mereka bermain gitar.
Menerusi album terakhirnya itu. Para peminat boleh memetik gitar menerusi lima buah lagu iaitu Rozana (Search), Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan), Kisah Kau Dan Aku (Alleycats), Kenangan Bersamamu (Lefthanded) dan Memburu Rindu (Hattan).
Sepanjang beliau menjadi anak seni, Samad yang pernah menjadi pemuzik undangan filem Rozana Cinta 87 itu pernah memenangi Album Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1995. Setelah kehilangan gitaris handal M.Shariff beberapa tahun yang lalu, industri kita kehilangan seorang lagi gitaris hebat, Abdul Samad Mian. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

0 comments: